NIAT PUASA BULAN RAMADHAN DAN
DOA BERBUKA PUASA
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang difahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.
Lafaz niat Lengkap:
Sahaja aku berpuasa esok hari fardhu bulan Ramadhan tahun ini
kerana Allah Taala.
Sebenarnya bangun untuk bersahur itu
sudah dikira berniat untuk berpuasa.
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
Sahaja aku berpuasa pada bulan Ramadhan keseluruhannya
kerana Allah Taala.
Digalakkan berniat puasa untuk
sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan
daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut
Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
Namun begitu, jika puasa Ramadhan
kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka
niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang
seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara
yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan
memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang
berbaki, iaitu niatnya:
“Sahaja aku berpuasa esok hari dan
sehingga akhir Ramadhan ini
kerana Allah Ta’ala”.
Waktu Berniat
Waktu berniat bermula daripada
terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah
sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat
puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
Doa Berbuka Puasa
Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, denganMu aku beriman dan dengan rezekiMu aku berbuka.
Hukum Puasa Di Bulan Ramadhan
Firman Allah S.W.T: “ Wahai
orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi
orang-orang yang bertaqwa. “ – (Surah Al-Baqarah: 183)
Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan
oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i
dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada
kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu
berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan
ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”
WALLAHU A'LAM.
No comments:
Post a Comment